Wednesday, October 21, 2015

Banyak titik panas di Indonesia... Jerebu di Malaysia hingga Khamis



Entah bila akan berakhir... jerebu atau di Indonesia dipanggil kabut asap nampaknya akan berteruskan sehingga Khamis depan.

Lebih teruk lagi beberapa wilayah di Indonesia kembali dilanda jerebu tebal selepas kawasan kebakaran hutan di Sumatera meningkat mendadak Ahad.
Ketua Jabatan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Pekanbaru, Sugarin memberitahu, sebanyak 813 titik panas yang berpotensi mencetuskan kebakaran hutan dikesan di tujuh wilayah di Sumatera.
Katanya, sehingga jam 5 petang (waktu tempatan) titik panas yang paling banyak dikesan berpusat di Sumatera Selatan dengan 645 titik.
“Wilayah di Jambi dan Riau pula, titik panas meningkat mendadak.
“Di Jambi jumlah titik panas meningkat kepada 70 berbanding sehari sebelum itu hanya satu titik panas dikesan,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 49 titik panas dikesan di Riau dan daripada jumlah itu 39 titik dikesan sudah mencetuskan kebakaran hutan atau belukar.
Jumlah titik panas yang melonjak tiba-tiba itu menyebabkan beberapa wilayah di negara itu kembali dilanda jerebu tebal.
Di Pelalawan yang paling teruk terjejas, jerebu tebal menyebabkan jarak penglihatan di paras 400 meter.
Antara kawasan yang terjejas teruk akibat jerebu termasuklah Rengat Indragiri Hulu, Pekanbaru dan Dumai dengan jarak penglihatan di paras antara 600 hingga 800 meter.
Jerebu tebal yang berlanjutan lebih dua bulan itu berpunca daripada pembakaran hutan untuk aktiviti pertanian.
Keadaan itu menyebabkan negara jiran termasuk Malaysia, Singapura dan sebahagian Thailand dilanda jerebu sehingga menyebabkan sekolah ditutup dan penerbangan tergendala.
Sementara itu, lima pendaki rentung dan seorang lagi parah selepas terperangkap dalam kebakaran hutan ketika sedang mendaki gunung Lawu Ahad.
Mayat tiga pendaki wanita dan dua lelaki itu ditemui rentung oleh pasukan penyelamat selepas seorang lagi pendaki yang berjaya menyelamatkan diri membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Pasukan penyelamat turut menemui seorang lagi pendaki yang hampir 50 peratus badannya terbakar di kaki gunung berkenaan.
Jurucakap pasukan penyelamat, Agung Lewis berkata, pihaknya juga berjaya menemui 13 lagi pendaki dan berjaya membawa kumpulan itu keluar.
“Kumpulan 13 pendaki ini tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Identiti lima mangsa yang maut itu masih belum dikenal pasti,” katanya.
Sementara itu, seorang pegawai penyelamat, Hendrik memberitahu, semua pendaki itu tidak mendaftar dengan pihak berkuasa sebelum mendaki gunung berkenaan.
“Aktiviti mendaki gunung ini ditutup sejak Jumaat lalu akibat cuaca buruk dan kebakaran hutan,” jelasnya.-19/10/2015
Sumber berita: Agenda Daily

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Affiliate Network Reviews